Wednesday, February 27, 2008

Skrip Berkualiti

Pementasan Drama Melayu meemerlukan sebuah skrip sebagai dasar pementasannya. Tanpa skrip, sebuah drama masih boleh dipentaskan tetapi pelakon akan berlakon tanpa arah dan bentuk yang jelas serta mengucapan dialog yang tidak terancang. Inilah yang membezakan drama moden dengan drama atau teater tradisi.
Drama moden memerlukan sebuah skrip sedangkan teater tradisi tidak memeerlukan skrip sebagai asas persembahan. Teater tradisi ebagai bangsawan, makyung atau Tok Selampit, tidak disediakan skrip cerita kerana ceritanya diperturunkan daripada "mulut ke mulut" dan pemainny telah mahir bercerita cerita yang sama.
Langkah pertama dalam merancang sesebuah pementasan dram ialah memilih dan medapatkan skrip yang baik. Inilah tugas utama yang sangat penting. Kegagalan memilih skrip yang baikpastilah memberikan kesan yang besar yang menyebabkab gagalnya sebuah pementasan.
Skrip yang baik haruslah mempunyai cerita yang bagus dan mempunyai elemen dramatik yang menarik. Untuk mendapatkan cerita yang bagus, sangat bergantung pada keupayaan pengarah atau penulis menulis kisah peristiwa yang pernah berlaku, imaginasi penulis atau diadaptasi daripada novel, cerpen, puisi, biografi atau apa sahaja yang boleh menjadi cerita.
Sebuah skrip harus mengandungi elemen drama seperti watak, dialog dan plot. Inilah struktur drama yang terpenting dalam skrip yang mana semuanya memungkinkan sebuah drama itu membawakan dunia yang disalin dalam pemainannya. Watak ialah manusia manakala dialog dan plot ialah apa-apa yang mereka kata dan lakukan yang menjadi asas kepada aksi.
Kekuatan sebuah skrip sangat bergantung kepada keupayaan penulis mengolah plot, perwatakan dan dialog yang mempunyai diksi yang baik seta pemikiran yang bernas. Cerita dan plot ialah dua perkara yang berbeza. Cerita menunjukkan peristiwa secara kronologis, manakala plot merangkaikan peristiwa melalui hubungn sebab dan akibat atau istilahnya kausalitis. Plot memerlukan istilah "mengapa" untuk mengamati paradigma yang akan memberikan penjelasan kepada tema, konflik, dan penyelesaian.
Dalam konteks drama, kebenaran drama tidak bergantung pada menghasilkan semula dunia atau sesuatu peristiwa itu setepatnya. Oleh itu, elemen drama ialah satu versi khusus daripada elemen yang telah membentuk realiti dunia. Versi yang digarap oleh dramatis juga ditentukan bentuknya oleh tujuan, bentuk dan gaya drama itu.
Tugas asas yang harus dititik beratkan ialah keupayaan menarik perhatian penonton dan tentunya kemudian mempertahankan penguasaan tarikan tersebut selama mungkin. Lapisan utama yang mendasari kesemua konstruksi dramatik ialah keupayaan mencipta minat atau perhatian dan suspens penonton.
Oleh itu, hal-hal yang dibincangkan ini perlu diberi perhatian serius untuk memastikan sesuatu pementasan itu berjaya. Skrip atau naskhah lakon yang dibincangkan ini hanyalah "rekaan awal" sebuah pementasan drama. Sebuah produksi drama yang hebat memerlukan penyertaan dan sumbangan daripada banyak pihak yang lain seperti pelakon, pereka set, kostum, muzik, pencahayaan, dan tentunya keupayaan garapan seorang pengarah.

No comments: